Pendaki solo, Khairil Aslan Ab Rasid menyifatkan rakyat negara ini menjadi inspirasi untuknya menghabiskan ekspedisi menarik tayar dengan bebanan 30 kilogram (kg) sejauh 322 kilometer (km) dari Bangi, Selangor ke Dataran Warisan Taiping, Perak.

Katanya, masyarakat yang ditemui juga sentiasa memberi semangat di setiap perhentiannya berehat sejak memulakan perjalanan pada Khamis lepas.

"Saya bertolak pada pukul 2.30 pagi dari Bangi kemudian ke Kota Warisan, Dengkil, Panglima Garang, Jerangkang, Bukit Tinggi, Klang dan akhir sekali Kapar. Pada hari pertama, perhentian di stesen minyak di Teluk Panglima Garang pada pukul 5 pagi.

"Kemudian saya teruskan perjalanan ke Kota Tinggi untuk perhentian seterusnya pada pukul 7 pagi dan bersarapan di sana dan meneruskan perjalanan ke perhentian seterusnya di Klang," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Khairil dijangka menamatkan perjalanannya di ambang sambutan Hari Kebangsaan 2016.

Beliau bakal mengharungi kira-kira 70km sehingga 80km sehari dalam hujan atau panas demi hadiah kepada negara sempena bulan kebangsaan.

Jelasnya, permukaan jalan tidak rata menjadi cabaran utama dalam perjalanannya yang memakan masa kira-kira 12 jam sehari.

"Namun saya tetap berjalan sehingga Kapar dan berazam menamatkan ekspidisi sejauh 80 km. Memang penat tetapi setiap kali saya jumpa masyarakat semasa berhenti rehat, mereka tahu saya ini latihan untuk saya membuktikan sesuatu untuk negara.

Khairil Aslan

"Saya tahu ekspedisi ini mesti dihabiskan walaupun cabarannya getir dan banyak halangan yang terpaksa ditempuh lagi. Masyarakat yang saya temui sepanjang perjalanan adalah inspirasi, ini perjalanan untuk negara dan tanda cinta kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan," jelasnya.

Tambahnya, semangat rakyat negara ini akan digunakan sepenuhnya dalam baki perjalanannya ke Taiping menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Misi berjalan dan menarik tayar itu dilakukan Khairil sebagai salah satu latihan memenuhi misi paling besar iaitu menjadi Muslim pertama dunia dan pendaki kedua dunia melengkapkan misi Grand Slam.

Pada akhir tahun lepas, Khairil melakar sejarah apabila berjaya menawan tiga puncak tertinggi pergunungan Himalaya di Kathmandu, Nepal.

Kejayaan anak jati Batu Kurau, Taiping itu merupakan satu sejarah apabila menawan Puncak Maru, Puncak Lobuche dan Puncak Island dalam tempoh sebulan.