Warga negara China paling banyak membeli rumah di Malaysia iaitu (1,664) unit manakala Bangladesh pula berada di ranking ketiga tertinggi (250) unit daripada 10 negara asing yang memiliki hartanah di negara ini menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah menerusi data daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

Data tersebut adalah daripada tempoh 2007 hingga 2018.

“Berdasarkan data daripada MOTAC jumlah unit rumah yang dimiliki oleh warga asing melalui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), bagi tempoh 2007 hingga 2018, adalah sebanyak 4,499 unit rumah.

“Warganegara China merupakan pembeli hartanah terbanyak dengan jumlah 1,664 unit, diikuti United Kingdom (357), Bangladesh (250), Iran (217), Jepun (208), Pakistan (192), Singapura (175), Australia (147), Republik Korea (127), Amerika Syarikat (115) dan lain-lain (1,047),” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan jumlah unit rumah dimiliki warga asing.

Tambahnya berdasarkan data Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula sebanyak 106,197 isi rumah bukan warganegara memiliki unit perumahan di seluruh negara.

Program Malaysia Rumah Kedua diperkenalkan pada 2002 untuk menarik warga asing menetap di Malaysia, terutama mereka yang sudah bersara atau untuk tujuan perniagaan.