Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat agar tidak memperalatkan mana-mana isu sensitif untuk kepentingan peribadi.

Titah baginda, hak dan kebebasan yang diberikan juga tidak seharusnya melangkaui asas perpaduan negara.

"Beta ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa seluruh isu-isu sensitif tidak boleh diperalatkan bagi kepentingan mana-mana pihak. Setiap rakyat dijanjikan hak serta kebebasan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, kebebasan tersebut mestilah melangkaui nilai-nilai yang menjadi asas kepada perpaduan negara," titah baginda semasa menyampaikan titah ucapan sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin.

Ingatan sama turut ditujukan kepada mana-mana pihak yang mempolemikkan lagi isu-isu politik dalam negara.

"Begitu juga dalam agenda politik, mesti ada noktah dan batasan yang tidak harus kita langgar. Jika polemik politik dibiarkan berlarutan, lambat laun rakyat akan mendapat padahnya.

"Percayalah perpaduan dan keamanan yang telah kita bina selama 62 tahun ini jika hilang akan sukar untuk dikembalikan," baginda bertitah.

Justeru, mana-mana pihak diingatkan agar kembali merapatkan saf dan melupakan sengketa lama.

"Nasihat beta, buang keruh ambil jernih. Mana-mana yang tercalar rawatilah segera agar yang retak akan kembali bertaut,"titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda mengalu-alukan pelbagai langkah diambil kerajaan untuk untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan negara selain menangani kos sara hidup serta kemiskinan.

"Dalam hal ini, kerajaan beta perlu sentiasa menambah baik perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Beta berharap golongan yang memerlukan seperti rakyat yang miskin, OKU dan B40 hendaklah diberikan perhatian agar mereka tidak tercicir dari arus pembangunan," titah baginda lagi.

Pada masa sama, generasi muda, titah baginda, perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dan nilai jati diri yang tinggi.

"Justeru, beta menyarankan agar program-program yang boleh menyemai nilai-nila mulia dan semangat patriotisme hendaklah dianjurkan di setiap pelusuk negara.

"Beta yakin kita akan membentuk sebuah masyarakat berintegriti dan membentuk sebuah negara yang ada nilai jati diri dan patriotisme yang tinggi," titah baginda.