Program e-Tunai rakyat yang dimulakan hari ini (Rabu), mendapat sambutan luar biasa, selepas ketiga-tiga platform e-pembayaran yang terlibat melaporkan lonjakan bilangan pengguna.

Touch n Go eWallet, Boost dan Grap Pay berkata, jumlah trafik telah meningkat dengan ketara selepas program itu dimulakan pagi tadi.

"Sehingga 12 tengah hari, kapasiti aplikasi mencerminkan peningkatan dalam pemprosesan trafik pengguna yang semakin bertambah dan (kami) melihat kadar kejayaan yang lebih tinggi dalam bilangan pembuat tuntutan," menurut satu kenyataan dari Touch n Go hari ini.

Aplikasi e-pembayaran itu turut membuat pelbagai tawaran bagi menarik orang ramai menggunakan platform mereka dalam tuntutan e-kredit sebanyak RM30.

Boost menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM8,888 dan Touch n Go eWallet menawarkan kepada pengguna RM30 tunai kembali serta peluang untuk memasuki pertandingan cabutan bertuah mingguan dengan hadiah seperti Proton X70.

Sementara itu, Grab Pay memberikan baucar tunai bernilai sehingga RM3,000.

Jurucakap Grab memberitahu, 30 peratus daripada pengguna hariannya telah mendaftar untuk program e-tunai rakyat dalam tempoh dua jam pertama pelancaran, sambil menambah bahawa ia telah mengambil langkah untuk memastikan kestabilan platformnya.

"Sebagai sebuah syarikat teknologi tempatan, kami berbangga selepas dipilih untuk inisiatif ini yang dibuat bagi menggalakkan penggunaan ekonomi digital.

"Adalah penting kepada pengguna untuk memahami manfaat jangka panjang seperti nilai keselamatan dan kemudahan e-pembayaran, sementara kami membantu mereka menjimatkan dan memanjangkan lagi nilai ringgit mereka melalui tawaran GrabPay Price serta GrabRewards," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata sambutan yang kuat daripada orang ramai membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menggunakan pembayaran elektronik.

"Inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penerimaan bayaran digital terbukti berkesan dan kami percaya bahawa 2020 akan mencatatkan tempoh peralihan ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai," katanya.

Kerajaan telah memperuntukkan RM450 juta bagi program e-Tunai Rakyat sejajar dengan agenda Perkongsian Kemakmuran 2030, bertujuan mengurangkan halangan kepada pendigitalan dan memperbaiki inklusiviti kewangan.

Di bawah program ini, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui mana-mana aplikasi e-dompet yang terlibat.

Wang yang diperolehi di bawah program ini perlu dibelanjakan antara 15 Jan hingga 14 Mac 2020, dan mana-mana bahagian yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut.

Setiap tuntutan akan dibandingkan dengan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menentukan kelayakan pihak yang menerima manfaat daripada program berkenaan, sebelum ia dikreditkan dalam tempoh lima hari bekerja.

-- BERNAMA