Kementerian Luar mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia di Harare, Zimbabwe adalah dalam keadaan selamat di tengah-tengah keadaan politik yang semakin tegang di ibu negara tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkata ia sedang memantau secara dekat perkembangan politik dan ketenteraan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Harare.

"Rakyat Malaysia yang berhasrat untuk ke Zimbabwe dalam masa terdekat dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang kurang penting sehingga dimaklumkan kelak," kata kenyataan itu.

Warganegara Malaysia yang telah berada di Zimbabwe diminta untuk menghubungi pihak kedutaan di talian +263 433 4413 / 4414, +263 77 500 1441 atau melalui e-mel [email protected] atau Kementerian Luar di Putrajaya di talian 03-8887 4587 (semasa waktu pejabat) dan 03-8887 4570 (selepas waktu pejabat) untuk memaklumkan lokasi terkini mereka.

Mereka juga boleh berbuat demikian di [email protected].

''Mereka dinasihatkan untuk kekal berada dalam bangunan dan mengelakkan tempat-tempat sesak serta membuat perjalanan pada waktu malam,''kata kementerian.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar berkata laporan awal dari Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tembakan di Rancho Tehama, di California Utara pada 14 Nov.

Lima orang dilaporkan maut dalam insiden tersebut dan 10 orang masih menerima rawatan di hospital.

'"Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Amerika Syarikat, terutama kepada keluarga mangsa," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA