Kedutaan Malaysia di Sudan telah menasihati semua pelajar Malaysia agar tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan politik serta menjauhkan diri dari tempat-tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan mereka seperti dataran dan kawasan pasar.

"Semua rakyat Malaysia dinasihatkan agar mematuhi aturan dan peraturan Sudan serta mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Khartoum," kata Pegawai Konsular Kedutaan Malaysia di Khartoum ketika menjawab soalan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama berhubung tunjuk perasaan baru-baru ini yang berlaku di Sudan.

"Jika boleh mereka perlu mengehadkan pergerakan mereka sehingga situasi kembali normal," kata pegawai itu.

Antara lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi dan yang harus dielak oleh rakyat Malaysia ialah Souq Omdurman, Souq Al-Araby di Khartoum, Atbara dan al-Gadarif, katanya.

Sementara itu, bagi rakyat Malaysia yang merancang berkunjung ke Sudan, kedutaan menasihati mereka agar mengambil semua langkah berjaga-jaga dan prihatin dengan situasi keselamatan pada setiap masa sebelum berlepas.

Menurut Pegawai Konsular, terdapat kira-kira 150 rakyat Malaysia yang menetap di Sudan ketika ini.

Majoriti mereka adalah pelajar yang mengikuti pengajian Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Undang-Undang Syariah di Universiti Afrika Antarabangsa.

Selebihnya adalah kakitangan Petronas, para pegawai dan petugas kedutaan serta sebilangan kecil ahli perniagaan Malaysia dan keluarga masing-masing, katanya.

Ketika ini, terdapat lima syarikat Malaysia yang beroperasi di Sudan iaitu Petronas, Nursyh Engineering Co Ltd, Hanas Services Co Ltd, DSV AL Anwar Trillion Gold Mining dan Beauty Bar.

Mengulas situasi semasa di Sudan, Pegawai Konsular berkata secara relatif ia adalah stabil dan terkawal selepas beberapa demonstrasi di Khartoum serta beberapa perbandaran lain sejak 19 Dis 2018.

"Buat masa ini, pasukan keselamatan Sudan terus mengekalkan keamanan dan kawalan di ibu negara serta di tempat lain," katanya.

Menurut Pegawai Konsular, beberapa siri demonstrasi telah berlaku susulan tunjuk perasaan di Atbara, sebuah negeri di Sungai Nil yang terletak kira-kira 348 kilometer dari Khartoum pada 19 Dis, di mana orang ramai turun ke jalanan untuk membantah situasi ekonomi teruk yang menyaksikan bekalan roti berkurangan dan harga meningkat daripada 1 Pound Sudan kepada 3 Pound Sudan.

Pada 21 Dis, Kedutaan Malaysia telah menyiarkan nasihatnya di halaman Facebook dan laman sesawang rasminya.

Kedutaan Malaysia terletak di Kompleks Petronas Sudan, No13, Block 7, Nile Avenue, P.O Box 11150, Khartoum, Republik Sudan dan boleh dihubungi menerusi Telefon: +249-156556400/+249-990700350 (Muhammad Rafeeq Mohd Razali) atau e-mel: [email protected].

-- BERNAMA