Seorang rakyat Malaysia, Jagathes Kumar Koil Pillai dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada 1 Ogos kerana bersubahat dengan empat warga Sri Lanka memiliki pasport palsu Malaysia, menurut Pihak Berkuasa Imigresen Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

Dalam satu kenyataan hari ini, ICA berkata siasatan menunjukkan bahawa Jagathes bersubahat dengan empat rakyat Sri Lanka, Kalaichandran Vinothan, 35; Suresh Sutharshiny, 37; Kajenthiran Kajeepan, 19; dan Krishnapillai Navaraj, 26; dengan memiliki pasport palsu Malaysia.

Keempat-empat mereka mahu mencari perlindungan di Itali atau Switzerland, dan meminta seorang ejen Sri Lanka yang tidak dikenali mengatur persiapan bagi perjalanan mereka ke sana.

Ejen tersebut mengatur perjalanan mereka melalui Singapura dengan mengenakan bayaran antara kira-kira S$8,500 (S$1=RM2.90) dan S$25,600.

Apabila keempat-empat mereka tiba di Singapura pada 27 Dis, 2017, Jagathes menyerahkan empat pasport palsu Malaysia dan pas masuk untuk perjalanan mereka di Itali semasa berada dalam tandas di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Dalam pasport itu tertera gambar mereka tetapi butiran pada pasport itu bukan milik mereka.

Selepas itu, Jagathes, 42, meninggalkan kumpulan tersebut dan kembali ke Malaysia sementara keempat-empat warga Sri Lanka itu kemudian ditahan oleh pegawai ICA.

Atas kesalahan memiliki dokumen perjalanan palsu, keempat-empat warga Sri Lanka itu disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan pada 12 Jan, 2018.

Melalui bantuan Pasukan Polis Singapura dan Polis Diraja Malaysia, Jagathes ditangkap pada 3 Julai, 2018 di Kuala Lumpur dan kemudian dihantar balik ke Singapura untuk siasatan oleh pegawai ICA pada hari berikutnya.

Di bawah Sejsyen 47(6) Akta Pasport, seseorang yang dengan sengaja memiliki dokumen perjalanan asing yang palsu adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi S$10,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA