Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Rakyat Malaysia, elakkan 'gatal-gatal' dalam tempoh genting ini

Rakyat Malaysia, elakkan 'gatal-gatal' dalam tempoh genting ini
Jika tiada sakit gatal kaki, ada pula yang gatal mulutnya dengan mengeluarkan kata-kata kesat apabila disoal pihak berkuasa apa tujuan berada di jalan raya. - Gambar hiasan/BERNAMA
PAGI ini terima satu lagi khidmat pesanan ringkas dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tertera ‘Patuhi arahan PKP. Terus kekal di rumah, tempoh dua minggu ini amat penting untuk kita semua memutuskan rantaian jangkitan COVID-19;. Ringkas dan jelas maksudnya dan ini merupakan salah satu ‘tazkirah’ harian yang MKN hantar kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai satu ingatan dan nasihat.

Tetapi dalam musim PKP Fasa 2 ini, masih ada segelintir yang tidak mahu duduk diam-diam di rumah, ada sahaja ‘sakit’ gatal yang dialami oleh segelintir rakyat kita. Jika dibiarkan ia tidak membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini malah menjadikan keadaan lebih buruk.
Gatal yang pertama ialah gatal kaki tak tertahan mahu keluar rumah melihat dunia. Walaupun tidak tergolong dalam kategori ‘Essential Services’ atau punyai urusan penting, masih mahu keluar untuk bersosial atau beriadah. Mungkin golongan gatal kaki ini merasakan terperuk dalam rumah lebih sukar dan mencabar berbanding pihak berkuasa yang berhujan berpanas membuat sekatan di jalan raya atau petugas kesihatan yang ‘berperang’ dengan COVID-19 di hospital.

Misalnya di Mahkamah Majistret Selayang, sembilan lelaki termasuk dua warga emas mengaku bersalah ingkar PKP kerana dengan sengaja berada dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa alasan munasabah dan berhimpun bagi maksud sosial.
Jika tiada ‘sakit’ gatal kaki, ada pula yang gatal mulutnya dengan mengeluarkan kata-kata kesat apabila disoal pihak berkuasa apa tujuan berada di jalan raya. Ada yang terlebih gatal mulut dengan yakinnya memuat naik rakaman video memperlekehkan pihak berkuasa dan petugas kesihatan dengan kata-kata yang jelik. Sebab itu orang tua sudah berpesan jaga tutur kata sebab ‘Kerana santan pulut binasa, kerana mulut badan binasa’.

Dilaporkan di media seorang wanita yang bekerja pengurus jualan di dakwa di mahkamah selepas memaki anggota polis yang membuat sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Jalan Damansara-Kota Damansara dengan perkataan ‘Idiot!’. Jika kita masih ingat juga, baru hari pertama PKP bermula pada 18 Mac lalu, seorang lelaki di Kedah merakam video menikmati kenduri kepala kambing sambil mengeluarkan komen jelik ‘Kuarantin kepala bapak!’ seolah-olah mempertikaikan pelaksanaan PKP. Tak ambil masa lama selepas video itu tular, dia ‘diangkut’ polis dan di dakwa di mahkamah.

Gatal yang ketiga ini lebih bahaya iaitu gatal tangan menulis dan menyebar berita palsu. Selalu berlaku perkara yang tiada diada-adakan dan berita yang sahih diputar belit seterusnya tersebar meluas di aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya. Dek kerana berita palsu yang masyarakat percaya itu buatkan mereka dari boleh duduk diam-diam di rumah sudah mula gundah-gulana dan akhirnya cetuskan suasana panik yang tidak sepatutnya berlaku.

Pada semalam Ahad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata Polis Diraja Malaysia kini sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung rakaman suara yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai berita palsu berkaitan ‘total lockdown’ dan ‘perintah berkurung’ selama 10 hari. Rakaman suara seorang lelaki dan wanita itu telah tular sejak bulan lalu itu telah menimbulkan kegusaran serta ‘panic buying’ di kalangan masyarakat.

Penulis memuji Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang sentiasa cepat mengemaskini dan mengeluarkan penafian bagi berita-berita palsu yang tersebar. Salah-satu sumber sahih lagi tepat yang boleh dirujuk untuk kepastian segera adalah Telegram rasmi MKN yang kini mempunyai lebih 1.1juta subscribers sentiasa mengemaskini informasi berkaitan PKP dan COVID-19 untuk makluman rakyat Malaysia.

Seruan penulis kita punyai peluang untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita juga masih punyai harapan cerah untuk menang dalam peperangan menentang wabak membahaya yang telah menjangkiti lebih sejuta orang dan meragut nyawa lebih 64,000 orang diseluruh dunia. Jangan sia-siakan peluang ini dan segala usaha dan pengorbanan frontliners kita, duduk sahaja di rumah dan jangan gatal-gatal.



*Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


Tag: Facebook, Mahkamah Majistret, koronavirus, Malaysia, Polis Diraja Malaysia, rakyat Malaysia, coronavirus, COVID-19, keselamatan, PKP



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.