Suka atau tidak, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa membuat pilihan sama ada mengambil cuti tanpa gaji atau terus tinggal di republik itu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Pilihan itu bagaimanapun bukan mudah kerana membabitkan kelangsungan ekonomi, malah keputusan untuk bekerja bermakna mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk tempoh lama, lebih-lebih lagi selepas Malaysia melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini.

Berkongsi pengalaman, seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jurutera sistem di republik berkenaan, Fudhail Yusoff, 31, berkata kerinduan terhadap isteri dan anaknya yang berusia enam tahun sukar digambarkan dengan kata-kata.

Katanya, sebagai suami dan ketua keluarga, dia juga berasa keberatan dan bimbang membiarkan isterinya menguruskan kehidupan bersendirian ketika ketiadaannya, lebih-lebih lagi menempuh tempoh PKP yang banyak menyekat pergerakan.

“Kami hanya berkomunikasi melalui panggilan video aplikasi WhatsApp setiap hari. Itulah sahaja cara kami kekal berhubung dan melepaskan kerinduan.

"Agar sukar juga bagi dia (isteri) menguruskan kehidupan. Dia kena uruskan segala-galanya seorang diri, (keadaan lebih sukar untuk keluar membeli keperluan) lebih-lebih lagi anak kecil tidak dibenarkan untuk dibawa bersama-sama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Fudhail adalah antara ribuan pekerja rakyat Malaysia yang terpaksa membuat pilihan untuk terus tinggal di kota singa itu demi mencari rezeki.

Dalam pada itu, Fudhail turut berkongsi beberapa rakaman video yang memaparkan situasi terkini di Singapura yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menurutnya, syarikat tempat dia bekerja membuat penjadualan semula waktu kerja bagi membolehkan pekerja bekerja dari rumah secara bergilir-gilir dengan sebahagian lagi bekerja di pejabat.

"Langkah ini adalah bagi mengurangkan jumlah pekerja pada satu-satu masa di dalam premis kerja atau pejabat," katanya.

Seperti juga di Malaysia, katanya, semua pasar raya di Singapura menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk.

Sehingga ini tambahnya, premis makanan dan pengangkutan di rebublik berkenaan masih beroperasi seperti biasa

Singapura merekodkan 844 kes positif COVID-19 dengan 42 kes baharu setakat Ahad.