Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Rakyat Malaysia terus melancong walaupun nilai ringgit susut

Rakyat Malaysia terus melancong walaupun nilai ringgit susut
Penurunan nilai ringgit tidak menjejaskan prestasi jualan agensi pelancongan, tetapi sebaliknya meraih keuntungan. -Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Walaupun nilai ringgit Malaysia merosot, rakyat Malaysia masih terus melancong ke destinasi tempatan dan juga asing, demikian menurut Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Setiausaha Kehormatnya, Nigel Wong berkata agensi pelancongan menawarkan kadar dan insentif khas kepada pengguna, terutama semasa pameran MATTA di mana harga tambang menjadi sangat berdaya saing dan ini mendorong rakyat Malaysia untuk melancong.
Beliau juga berkata, penurunan nilai ringgit tidak menjejaskan prestasi jualan mereka, tetapi sebaliknya meraih keuntungan.

"Jualan sasaran kami untuk pameran MATTA di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berakhir pada 9 Sept adalah RM200 juta, dan walaupun angka akhir masih lagi diterima, disahkan yang ia telah melepasi sasaran kami," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Sementara itu, Pameran MATTA 2018 Pulau Pinang selama tiga hari mulai pada 28 Sept akan menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai RM330,000.

"Pengunjung layak menyertai cabutan bertuah dan tiga pemenang bertuah akan menerima tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Bangkok, Kuala Lumpur ke Hanoi, dan Kuala Lumpur ke Melbourne, dengan penginapan masing-masing tiga malam untuk setiap set.

Pengarah Urusan, Kenny Chong berkata, Hwajing sentiasa menyokong MATTA dan melabur paling banyak untuk Pameran MATTA 2018 Pulau Pinang yang akan datang.

"Kami telah melabur lebih daripada RM100,000 dalam pameran ini, di samping penajaan," kata Chong. -- Bernama