Tutup

Rakyat memerhatikan anda, pesan Daim Zainuddin pada kerajaan

Rakyat  memerhatikan anda, pesan Daim Zainuddin pada kerajaan
Daim Zainuddin menyampaikan ucapan bertajuk 'Polisi Ekonomi Baharu Untuk Malaysia Baharu' pada perasmian Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam: Trend dan Unjuran Global, di Petaling Jaya pada Isnin. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PETALING JAYA: Isu ketidakstabilan politik dan institusi telah memberi impak kepada aktiviti pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan dasar pembaharuan dalam institusi, namun pelbagai cabaran didepani mereka.

Namun, tegas beliau, cabaran yang mendepani para anggota Kabinet bukanlah disebabkan rakyat memerhatikan setiap polisi yang ditetapkan kerajaan.

"Selaras dengan ketidaktentuan ekonomi, terdapat juga isu-isu politik dan institusi yang perlu diberi perhatian.
"Manifesto PH telah meletakkan dasar untuk pembaharuan institusi, pemulihan kepada kedaulatan undang-undang dan pemberdayaan pergerakan sivil. Namun, ia menghadapi banyak cabaran tatkala bersiap sedia memulakan tugas besar bagi melaksanakan manifesto.

"Banyak usaha reformasi telah dan sedang dilaksanakan. Kami memantaunya, dan menteri dan timbalan menteri yang tidak lagi baharu, perlu pantas dan kehadapan. Rakyat memerhatikan anda," katanya.
Daim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Polisi Ekonomi Baharu Untuk Malaysia Baharu' pada perasmian Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam: Trend dan Unjuran Global, di sini hari ini.

Dalam persidangan anjuran Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA) Universiti Malaya (UM) yang berlangsung selama dua hari itu beberapa ahli panel berkongsi isu merentas polisi awam di peringkat tempatan dan global.

Menurut Daim lagi, ketidakstabilan politik dan soalan berkenaan pelan peralihan kuasa yang tidak pernah berakhir juga telah memberi impak kepada ekonomi pada masa kini.

"Pelaburan dan aliran modal merupakan perkara yang paling dibimbangkan kepada ekonomi kita pada masa ini. Ada juga isu ketidakstabilan politik dan soalan yang tidak pernah berakhir berkenaan pelan peralihan kuasa.

"Semua isu ini mempunyai impak kepada aktiviti dan pertumbuhan ekonomi. Sama ada tempatan mahupun global, pasaran saham memerlukan kestabilan. Kita perlukan kestabilan sosial dan politik untuk meraih pelaburan terancang kepada ekonomi kita," katanya lagi


Tag: Pakatan Harapan, kerajaan, kabinet, Tun Daim Zainuddin, ekonomi, politik, pelaburan, Majlis Penasihat Kerajaan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.