Rakyat Sabah dinasihatkan tidak terpengaruh dengan mana-mana anasir yang mampu mengganggu gugat perpaduan sedia ada kaum di negeri ini.

Pesanan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019, Datuk Peter Anthony yang meminta semua rakyat bersatu padu bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia kali ini.

Beliau berkata yang juga Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah berkata terdapat segelintir 'pihak' dilihat sering mengeluarkan kenyataan yang memesong dan mahu menimbulkan pergeseran.



"Saya berharap kita menimbang atau memikirkan oleh kerana kita berada di satu Malaysia yang majmuk di mana di Malaysia ini kita tahu kita berada di berbilang kaum sudah tentu permuafakatan perpaduan itu penting untuk kita demi Malaysia maju.

" Kita tidak mendengar suara sumbang terutamanya pihak pembangkang di luar yang cuba memporak perandakan cuba memecah belahkan perpaduan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara perbarisan bersempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Untuk rekod, hampir 10,000 menghadiri upacara berkenaan yang diserikan dengan kehadiran oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, majlis acara tersebut dimulakan dengan persembahan nyanyian lagu patriotik sebelum upacara perarakan perbarisan melibatkan sebanyak 172 kontinjen.

Antara kontinjen yang terlibat adalah jabatan dan agensi kerajaan negeri, pertubuhan, sekolah dan lain-lain.

Turut diadakan dalam Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah kali ini adalah deklamasi sajak khas serta persembahan tarian kebudayaan.