Rakyat tidak akan dibebankan dengan harga tiket yang tidak munasabah bagi perkhidmatan tren Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Inilah janji Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, seperti mana projek MRT, di mana tidak kurang 50 peratus kosnya disubsidikan kerajaan bagi mengelakkan harga tiketnya terlalu tinggi.

Menyentuh mengenai projek tren ECRL di Kelantan, proses pengambilan tanah akan dimulakan melibatkan 1,100 ekar tanah untuk membina laluan dan juga lima buah stesen hentian.

Katanya lagi, Kelantan merupakan negeri pertama yang akan memulakan proses pengambilan tanah dan ianya dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menurut Mustapa, ECRL di Kelantan melibatkan 70 kilometer dengan fasa pertama membabitkan jarak 46 kilometer dan fasa kedua 24 kilometer.

Fasa pertama akan bermula di sempadan Kelantan-Terengganu dengan sesi pertama di Tokbali, Pasir Puteh, diikuti Jelawat, Bachok dan ketiga di Kota Bharu.

Manakala bagi fasa kedua melibatkan pembinaan stesyen di Wakaf Baru dan Pengkalan Kubor, di Tumpat.

Kos keseluruhan projek ECRL melibatkan 668 kilometer dari Kuala Lumpur ke Kelantan ini ialah RM55 bilion.

Namun, anggaran awal kos pembinaan dan pengambilan tanah melibatkan negeri Kelantan ialah RM5 bilion, atau 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek.