Masih jauh perjalanan untuk membentuk mentaliti masyarakat yang berfikiran sebagai bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut kaum masing-masing.

Ini realiti yang disebut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana masih wujud penolakan terhadap usaha membentuk penyatuan jitu antara rakyat negara ini kerana kepentingan politik.

Katanya, ahli politik tiada pilihan selain memperjuangkan apa yang dimahukan kaum masing-masing untuk mendapat sokongan.

“Kita telah cuba untuk kurangkan tumpuan kepada kaum tetapi kita dapati tentangan yang hebat.

"Umpamanya sekolah, masing-masing kaum mahu sekolah kaumnya. Apabila kita cuba adakan sekolah-sekolah ini di satu kampus, tiga jenis sekolah dalam satu kampus, itu pun ditolak mereka.

“Jadi perasaan perkauman dalam kalangan semua kaum ini amat keras, amat ketat dan tidak boleh diketepikan. Kita mesti juga ambil kira perkara ini, kalau tidak maka kita akan kalah,” jelasnya.

Beliau bercakap pada siaran langsung Bicara Khas bertajuk ‘Malaysia Dinamik dan Bersih’ sempena setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang disiarkan menerusi RTM1 pada Rabu.

Perdana Menteri menjawab soalan moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar yang bertanyakan tentang bagaimana PH menangani kerisauan orang Melayu terhadap politik baharu pasca 9 Mei 2018.

Walaupun sebagai majoriti, jelas Dr Mahathir, orang Melayu sendiri yang melemahkan diri mereka apabila berpecah kepada beberapa parti menyebabkan penguasaan politik mereka terbahagi lantas memerlukan sokongan parti kaum lain untuk meraih kemenangan.

“Sebab itu sekarang ini kita dapati bahawa sementara orang Melayu curiga dengan parti-parti Melayu, tetapi parti-parti Melayu pula berasa tidak senang kalau mereka tidak tunjuk sikap yang lebih liberal kepada semua kaum yang ada di Malaysia,” ujarnya.

Ketika perlunya mempunyai pemikiran terbuka terhadap kaum-kaum lain, jelas Perdana Menteri, orang Melayu perlu memperkuat diri mereka dalam segenap aspek khususnya ekonomi, ilmu pengetahuan dan kecerdikan politik supaya tidak terus berasa paranoid dan terancam dengan unsur luar.