Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy dinasihatkan tidak meletakkan syarat kepada pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik sebelum berdebat.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata langkah berkenaan hanya membuang masa.

Menurutnya, anjuran debat berkenaan boleh ditukar kepada sesi dialog dan kedua-duanya boleh bercerita mengenai agama masing-masing serta didengari umum.

“Kalau Ramasamy nak tahu pasal Islam, Zakir boleh cerita begitu juga sebaliknya zaman sekarang dah terbuka semua setuju untuk berdialog secara terbuka. Saya harap Ramasamy be gentleman lah.

“Dialog secara terbuka ni bagus, masing-masing boleh keluarkan isu, hujah tapi sewajarnya ia tak timbul masalah sekiranya dibuat secara ilmiah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, tadi.

Terdahulu, Dr P Ramasamy bersetuju berdebat dengan Zakir dengan syarat pendakwah itu harus pulang ke India terlebih dahulu bagi menghadapi pertuduhan ke atasnya.

BACA: Zakir Naik setuju debat dengan Ramasamy, dengan syarat...

Mengulas mengenai isu Zakir berhadapan dengan permohonan rasmi dari Kerajaan India sejak Januari tahun lalu untuk diekstradisi ke negara berkenaan, Ismail berkata isu itu tiada kaitan dengan program debat.