Malaysia kini di peringkat akhir untuk menggubal Rang Undang-undang Antartika dan berharap dapat membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen menjelang 2017, kata Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya.

Dalam hubungan ini, beliau berkata Malaysia berharap untuk menjadi anggota perunding Mesyuarat Perundingan Perjanjian Antartika (ATCM) dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup mesyuarat Jawatankuasa Saintifik mengenai Penyelidikan Antartika (SCAR) dan Persidangan Sains Terbuka 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Lebih 600 kertas kerja berkaitan penyelidikan dibentangkan semasa persidangan selama lima hari itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tempatan persidangan, Mohd Nasaruddin Abd Rahman berkata penglibatan penyelidik Malaysia mengenai Antartika menunjukkan peningkatan ketara dengan lebih 80 orang penyelidik.

Ketika ditanya mengenai kepentingan penglibatan Malaysia dalam penyelidikan Antartika, beliau berkata Malaysia akan terus ketinggalan dalam usaha menangani ancaman pemanasan global dan peningkatan paras air laut global jika ia tidak terlibat dalam penyelidikan.

"Apa yang berlaku di Antartika akan mempengaruhi rantau tropika kerana 80 peratus daripada Antartika meliputi ais. Jadi pencairan ais berlaku, ia akan memberi kesan pada paras air laut global.

"Justeru, sekurang-kurangnya dengan melibatkan diri, kita boleh mendapatkan maklumat awal mengenai perkembangan terkini di Antartika dan membantu untuk merangka polisi-polisi di peringkat nasional," katanya.