Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menolak Rang Undang-Undang Farmasi dengan alasan pemegang taruh yang berkaitan tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum usul itu dibawa ke Parlimen.

Presidennya Dr H. Krishna Kumar dalam satu kenyataan berkata pihaknya, bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan beberapa organisasi berkaitan telah mengadakan pertemuan dengan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan berkaitan cadangan pemisahan dispensari dan hak preskripsi hari ini.

Permintaan untuk mendapatkan dokumen berkaitan bagaimanapun telah ditolak.

“Kami telah memohon dokumen rasmi berkaitan cadangan Rang Undang-Undang Farmasi tetapi permintaan telah ditolak oleh Bahagian terbabit kerana dokumen diklasifikasikan sebagai dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Justeru atas sebab tiada sebarang kesatuan perubatan yang diminta memberikan nasihat sebelum dokumen terbabit dikemukakan, kami tidak dapat memberikan sebarang kenyataan sekaligus menolak cadangan terbabit," kata Krishna.

Katanya lagi, MMA berharap pihak kerajaan dapat mengeluarkan dokumen terbabit dari senarai dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi atau dideklasifikasikan bagi membolehkan semua pemegang taruh dapat dirujuk terlebih dahulu sebelum mengusulkan Rang Undang-Undang itu ke Parlimen.

Antara yang dicadangkan menerusi rang undang-undang itu adalah pemisahan fungsi dispensari ubat di mana pesakit perlu berjumpa doktor untuk konsultasi dan pemeriksaan tetapi hanya boleh mengambil ubat dari kedai-kedai farmasi.

Ia telah membuka perdebatan orang ramai yang bimbang cadangan ini membawa kepada lebih banyak keburukkan dari kebaikan. Termasuk keselamatan ubat-ubatan yang diambil dan peningkatan kos.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata rang Undang-Undang Farmasi yang baharu masih dalam peringkat penilaian untuk mengumpulkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara.

Perbincangan dengan Persatuan Farmasi dan ahli akademik akan dilangsungkan pada minggu keempat bulan Mac seterusnya diikuti dengan majlis taklimat rasmi pada April 2015.

Manakala, dalam mengulas isu pengasingan dispensari atau pemisahan fungsi klinik dan farmasi ini, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata perkara utama adalah untuk menawarkan pilihan kepada pengguna agar mereka dapat membuat keputusan terbaik mengikut keperluan dan kesesuaian diri.