Satu Rang Undang-undang baharu mengenai sumber air akan dirangka bagi menyelaraskan pengurusan air di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata undang-undang itu kelak akan diperkenalkan sebagai templet kepada setiap negeri yang kini mengguna pakai sistem pengurusan mengikut cara masing-masing.

Rang itu akan dibentangkan kepada jemaah Kabinet selewat-lewatnya September ini, dan ke Parlimen selewat-lewatnya awal 2018.

"Buat masa ini ada negeri yang mempunyai non-revenue water (air terbazir) sehingga 40 peratus.

"Bersama Rang Undang-undang ini kita wujudkan satu jawatankuasa untuk menyelaras sistem pengurusan air bersepadu untuk seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Air Sedunia 2017 yang bertemakan 'Waste water' peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Sambutan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan turut dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Wan Junaidi berkata kementerian akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai rang tersebut.

"Ia juga bertujuan untuk menjelaskan bahawa undang-undang ini bukan bertujuan mengambil alih pengurusan air negeri sebaliknya untuk menyelaras secara bersepadu," katanya. - BERNAMA