Sarawak mengambil langkah persediaan lebih awal bagi mencegah gelombang kedua COVID-19 daripada berlaku di negeri itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Jawatankuasa Pasukan Bertindak (Pengawalan dan Pencegahan) telah memberikan laporan kepada jawatankuasa itu bagi tindakan yang akan diambil sekiranya berlaku gelombang kedua.

Penerangan laporan yang diketuai oleh Profesor Datu Dr Andrew Kiyu dari Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu memberi gambaran serta contoh keadaan dan senario penularan COVID-19 di beberapa buah negara yang mengalami gelombang kedua.

“Rakyat Sarawak harus mempelajari apa yang berlaku di Hokkaido dan Singapura. JPBN sedang merangka strategi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang tersebut.

“Setelah dirangka, ia akan dilaksanakan oleh JPBN. Yang paling penting, rakyat Sarawak mempunyai peranan besar dalam menentukan perkara ini daripada tidak berlaku.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, tiada kes positif baharu COVID-19 direkodkan di negeri tersebut untuk tempoh lapan hari berturut-turut.

Selain itu, menyentuh mengenai proses penghantaran pulang pelajar, seramai 8,448 mahasiswa telah diselaras oleh JPBN di mana mereka tiba dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.

Manakala, bagi pusat kuarantin pula, beliau memaklumkan terdapat 61 pusat kuarantin yang telah dibuka dengan jumlah keseluruhan 3,837 pusat.


Antara keputusan lain yang turut diumumkan dalam sidang media itu adalah berkenaan pengoperasian semula bistro dengan syarat tanpa menyediakan perkhidmatan hiburan seperti karaoke atau live band.

Di samping itu, Uggah memaklumkan setiap rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara melalui transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tidak perlu memohon permit daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dalam masa sama juga menyuarakan keprihatian ke atas keperluan anak tempatan untuk kembali ke tanah air khasnya bagi mereka yang telah menempah tiket penerbangan.

Oleh itu, pihak JPBN telah meneliti perkara ini dan mereka yang perlu pulang harus memohon kepada JPBN secara talian dan dikuarantin 14 hari sejurus tiba.