Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur Pengendali Perkhidmatan Rel Rapid KL, Rapid Rail kerana menamatkan peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen-stesen tanpa merujuk kepada kerajaan.

Tegasnya, syarikat pengendali itu sepatutnya membuat permohonan terlebih dahulu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat keputusan penting berkenaan.

Jelasnya, Rapid Rail tiada kuasa untuk mengubah dasar yang ditetapkan oleh kerajaan walaupun beliau mengakui SOP penjarakan sosial akan menjejaskan bilangan penumpang ke dalam pengangkutan awam itu.

"Rapid Rail ini tidak ada kuasa untuk mengubah dasar atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan . Apabila kerajaan menetapkan perlu ada penjarakan sosial dalam mana-mana tempat, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya ubah apa yang dibuat oleh kerajaan.

"Kalau mereka nak buat sebarang perubahan, mereka perlu memohon kepada MKN untuk membuat perubahan. Bukan tiba-tiba umum apa yang mereka rasakan perlu umum," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

Justeru katanya, apa yang dilakukan itu adalah salah dan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Mesyuarat Khas Menteri-menteri dan MKN.

Namun, kerugian yang mungkin ditanggung pihak pengendali pengangkutan awam sedang dibincangkan kerajaan.

BACA: Tiada lagi penjarakan sosial dalam LRT, MRT, monorel bermula esok - Rapid Rail



"Kita faham masalah mereka apabila terdapat pengurangan apabila jumlah penumpang kurang. Ini libat kos bukan sahaja di peringkat keretapi, MRT, LRT semua. Namun pesawat juga terkesan.

"Apabila kita hadkan 66 peratus sahaja boleh bawa penumpang mereka juga alami kerugian. Kita akan bincang perkara ini namun jangan mereka membuat keputusan sendiri tanpa rujuk kerajaan. Ini salah," ujarnya.

Sehubungan itu tegasnya, Rapid Rail tidak sepatutnya mengambil keputusan sendiri tanpa merujuk kepada pihak kerajaan.

BACA: Rapid Rail buat U-turn, patuh polisi penjarakan sosial