Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya meliputi maklumat asas sebagai panduan kepada ahlinya dalam menguruskan simpanan persaraan mereka dan tidak menjejaskan perniagaan perunding kewangan swasta.

Pegawai RAS cawangan Seberang Jaya, Pulau Pinang Wan Nur Hafizah Chik Wan Ismail berkata perkhidmatan berkenaan yang diberikan secara percuma kepada ahli KWSP tidak menyediakan laporan perancangan kewangan atau persaraan penuh seperti yang disediakan oleh perunding kewangan swasta.

Kata beliau perkhidmatan berkenaan bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan ahlinya tentang kepentingan mempunyai perancangan persaraan.

"Kami tidak menyediakan laporan perancangan kewangan ataupun persaraan penuh. Hanya nasihat asas untuk perancangan kewangan dan persaraan yang rata-rata ahli tidak tahu dan tidak sedar pun akan kepentingannya," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Wan Nur Hafizah berkata RAS diwujudkan atas keprihatinan KWSP terhadap fakta dan perangkaan yang menunjukkan bahawa 65 peratus daripada ahlinya yang telah mencapai umur 54 tahun mempunyai simpanan RM50,000 dan ke bawah.

"Kebanyakan ahli menghabiskan simpanan KWSP dalam jangka masa tiga hingga lima tahun sedangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia pula semakin meningkat," katanya.

Wan Nur Hafizah berkata objektif RAS diwujudkan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pencarum KWSP tentang kepentingan perancangan persaraan sebelum pengeluaran simpanan dibuat.

"Kami nak bagi nasihat sebelum pengeluaran dibuat supaya mereka ada satu keputusan yang terbaik yang kami panggil 'informed decision' iaitu bagaimana untuk menguruskan simpanan persaraan mereka nanti," katanya.

Beliau berkata bagi ahli KWSP yang berumur 35 tahun ke bawah, khidmat nasihat yang diberikan pegawai RAS adalah lebih tertumpu kepada perancangan kewangan serta sasaran simpanan menjelang umur persaraan.

Bagi ahli yang berumur melebihi 35 tahun, khidmat nasihat adalah lebih tertumpu kepada pengurusan simpanan persaraan agar mampu bertahan lama serta boleh membiayai kos sara hidup selepas bersara, katanya.

Katanya selain khidmat nasihat perancangan kewangan dan persaraan, pegawai RAS juga memberikan khidmat nasihat berkaitan produk KWSP selain memberikan panduan untuk berurusan dengan agensi yang berkaitan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

-- BERNAMA