Pernahkah anda mengalami kesakitan di anggota badan bahagian kaki apabila berjalan dan perlu duduk seketika sebelum meneruskan perjalanan?

Sekiranya ada, anda mungkin mengalami Pheripheral Artery Disease (PAD) atau dalam bahasa mudahnya pembuluh darah tersumbat di bahagian kaki.

Pada peringkat global, penyakit ini telah menyerang seramai 200 juta orang dan kebanyakan daripada mereka berusia lebih 40 tahun.

Menurut Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahaya antara faktor yang menyebabkan pembuluh darah tersumbat di bahagian kaki ialah kandungan kolestrol dan atherosclerosis (plak membina dalam pembuluh darah).

“Kalau merokok, penyakit ini akan berlaku lebih cepat, mereka yang mengalami penyakit diabetis, kolestrol tinggi dan darah tinggi sebab itu pemakanan itu perlu kita jaga dengan baik.

“Selalunya, kes yang biasa dilihat ketika pesakit itu berjalan dia mengalami sakit di bahagian betis, paha atau bahagian punggung tetapi bergantung kepada di mana sempitan (tersumbat) itu berlaku.

“Sakit itu akan muncul apabila kita bergerak berdasarkan jarak tertentu sebagai contoh jika kita bergerak dalam 500 meter, kita mengalami kesakitan dan perlu berehat beberapa minit sebelum sakit itu hilang dan semakin sakit kita rasa semakin teruklah sumbatan itu berlaku, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam porogram AWANI Pagi terbitan Astro AWANI pada Jumaat.


Mengulas lanjut, Shaiful Azmi berkata, tanda-tanda lain pesakit mengalami penyakit pembuluh darah tersumbat di kaki adalah jari kaki akan kelihatan kehitaman serta luka akan lambat baik disebabkan darah yang membawa bekalan oksigen tersumbat.

“Apabila rawatan tidak diberikan awal, tiada cara lain selain amputasi iaitu pemotongan kaki.
Justeru itu, pencegahan awal adalah lebih baik daripada merawat, semua pihak perlu tahu kos rawatannya agak mahal dan sebaiknya elakkan merokok dan amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat," kata beliau lagi.

Untuk rekod, IJN menerima pesakit yang mengalami Pheripheral Artery Disease sebanyak 150 hingga 200 orang setahun.