Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang didakwa atas 35 tuduhan memperoleh AS$63.3 juta berhubung penganugerahan kontrak konsensi balak negeri itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

"Mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan," katanya yang berada dalam kandang pertuduhan.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri beliau, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Individu terbabit ialah Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Heng, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon.

Wang suapan itu ialah sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Syarikat berkenaan ialah Bountiful Returns Sdn Bhd, Syarikat Segar Tepat Sdn dan JV Lestari Sdn Bhd, Tamabina Sdn Bhd, Sabapiorneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn. Bhd, LR Enterprise Sdn. Bhd, Lembah Mayang Sdn. Bhd. dan Fast Progress Sdn. Bhd, Maju Sinar Network Sdn. Bhd, Syarikat Eden Region Sdn. Bhd, Gasing Selatan Sdn. Bhd, Tetap Simfoni Sdn Bhd, Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd. dan Eramewa Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura di antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Semua tuduhan terhadap Musa adalah mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah afau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib dan Kamal Bahrin Omar.

Musa diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu AS$131,578, AS$921,052 dan AS$263,000 daripada Lim Nyuk Foh melalui akaun Citi Bank dan HSBC Bank atas nama Chia Tien Foh sebagai suatu dorongan untuknya melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada Syarikat Bountiful Returns Sdn Bhd.

Musa dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Citi Bank, Kowloon, di Hong Kong Special Administrative Region of the People's Republic Of China dan di HSBC Bank, Ocean Tower Branch, Singapura pada 20 Disember 2004 dan 17 Februari 2005.