Masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini dilihat sangat serius berbanding dengan 10 tahun dahulu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM sepanjang tahun 2016 sehingga Februari 2017 sahaja sebanyak 665 Kertas Siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam di negara ini.

"Seramai 548 penjawat awam telah ditangkap sepanjang tempoh berkenaan dan sebanyak 63 kes telah dituduh di mahkamah.

"Ini menunjukkan betapa seriusnya rasuah dalam kalangan penjawat awam dan dikhuatiri jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) dan Wilayah bersama SPRM.

Dalam majlis berkenaan beliau turut menyarankan agar KKLW merangka pelan integriti dalam mengubah persepsi masyarakat kepada penjawat awam.

"Pelan integriti perlu dirangka kepada masyarakat agar isu ini tidak dibayangi kesalahan pegawai-pegawai yang menerima rasuah sebelum ini," jelas beliau.