Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menahan empat orang awam termasuk dua wanita kerana disyaki memberi rasuah kepada pegawai Perbadanan Bekalan Elektrik Sarawak (Sesco) sejak tahun lalu bernilai lebih RM27,000.

Keempat-empat suspek yang berusia antara 37 hingga 41 tahun itu ditahan antara pukul 5 petang hingga 5.40 petang di Pejabat SPRM Miri dan Sibu ketika hadir untuk memberi keterangan semalam.

Menurut sumber, mereka ditahan kerana disyaki memberi wang rasuah secara bulanan kepada pegawai Sesco bagi melindungi kegiatan mengubah jumlah bayaran bil elektrik serta membuat penyambungan elektrik secara haram.

Difahamkan, antara suspek yang ditahan tersebut, dua suspek merupakan 'runner' bagi beberapa premis di sekitar Bandaraya Miri dan Sibu bagi menjalankan kegiatan tersebut.

Barang-barang yang dirampas ketika penggeledahan di rumah suspek. - SPRM
Kata sumber, SPRM telah membuat penggeledahan di kediaman suspek-suspek berkenaan sekitar Miri dan menemui lebih 90 unit meter elektrik, 600 lebih unit 'meter front cover' dan 590 unit 'meter base' yang telah diubah suai dengan nilai anggaran mencecah ratusan ribu ringgit, termasuk lebih 100 bil elektrik pelanggan yang dipercayai telah diubah jumlah bayarannya.

Menurut sumber lagi, kegiatan tersebut dipercayai telah berleluasa di sekitar Bandaraya Miri dan Sibu sejak tahun lalu yang mana suspek-suspek terbabit dipercayai telah mengurangkan bil elektrik sehingga 75 peratus daripada jumlah bayaran asal.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, penangkapan tersebut dibuat kerana ia melibatkan ketirisan hasil kutipan yang besar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.