Selepas setahun disahkan mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, seorang lelaki merayu bantuan orang ramai untuk menampung kos pembedahan untuk menggantikan buah pinggangnya.

Jason Gerald, 40, mendakwa, dia sudah setahun menjalani rawatan hemodialisis di sebuah hospital di Melaka dengan kos mencecah hampir RM 2,500 sebulan.

Katanya, buat masa ini, pihak keluarganya masih sedang mencari tempat yang sesuai untuk menggantikan buah pinggangnya memandangkan ia sudah berada di tahap kronik.

Biarpun, ibu dan satu-satunya adik yang dia ada telah bersetuju untuk mendermakan satu buah pinggang mereka, namun kini kos rawatan yang mencecah hampir RM200,000 menjadi penghalang untuk keluarga ini meneruskan niat murni mereka.

Lebih memeritkan, bapa kepada dua orang anak ini turut menghidap penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi, jantung dan juga strok yang menyebabkan keadaan badannya lemah dan tidak dapat bergerak seperti biasa.

"Saya ke hospital untuk menjalani ujian darah dan air kencing, tetapi doktor memberitahu buah pinggang saya sudah rosak disebabkan kandungan urea yang tinggi dalam darah.

"Kebiasaannya dalam 80 hingga 100 lebih, tetapi ketika itu sudah 1,400, kandungan toksid dalam badan juga agak tinggi menyebabkan buah pinggang tidak dapat berfungsi.

"12 haribulan saya sekali lagi buat pemeriksaan dan doktor terus tahan saya di hospital dan terus lakukan dialisis," katanya kepada Astro AWANI.

Lebih menyedihkan, dua jari kakinya juga telah dipotong tahun lalu akibat kandungan gula yang terlalu tinggi.

Katanya, sebelum ini dia merupakan seorang yang kerap menjalankan pemeriksaan kesihatan, namun tidak menyangka secara tiba-tiba doktor mengesahkan buah pinggangnya gagal berfungsi dan telah berada di tahap kronik.

Tidak sanggup

Dengan nada pilu Jason bercerita, sejujurnya dia tidak sanggup untuk mengambil buah pinggang dari darah dagingnya iaitu ibu dan adiknya, namun itu hanyalah pilihan terakhir yang dia ada selain terpaksa terus menanggung kos menjalani rawatan hemodialisis seumur hidup.

Jason memberitahu, isterinya juga ada menawarkan untuk menderma buah pinggang, namun doktor mencadangkan untuk mendapatkan penderma daripada darah daging sendiri.

Menurut Jason, sekiranya isterinya tetap menderma, mereka berdua perlu mengambil ubat seumur hidup untuk menyesuaikan keadaan buah pinggang dalam badan masing-masing.

Sementara itu ibunya Gabriela Sebastian, 67, berkata, sejujurnya dia sangat sedih memikirkan penyakit yang terpaksa ditanggung anak sulungnya itu memandangkan Jason merupakan seorang lelaki yang sangat aktif sebelum ini.

Katanya, sebagai seorang ibu yang melihat anaknya membesar di depan matanya, dia sanggup berkorban apa sahaja walaupun dia bakal berdepan risiko kesihtaan yang lain.

Dengan linangan air mata, ibunya percaya, ini sebagai suatu dugaan dalam hidupnya dan dia sendiri akan terus kuat demi memastikan kesihatan anaknya sentiasa berada dlama keadaan baik.

"Saya mahu dia sihat sebab dia ada anak, semua ini dalam tangan tuhan, kita cuma boleh mendoakan," kata Gabriela.

Justeru, kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, boleh dimasukkan ke akaun bank 114253401487 (Maybank) atau menghubungi terus 012-977 3720.