Tutup

RCEP sukar dimuktamad kerana ada negara tidak setuju - Dr Mahathir

RCEP sukar dimuktamad kerana ada negara tidak setuju  - Dr Mahathir
RCEP merupakan perjanjian melibatkan 10 negara anggota ASEAN bersama enam rakan dagang lain termasuk China, India, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sukar dimuktamadkan kerana ia merupakan rundingan multilateral yang memerlukan konsensus kesemua pihak terlibat.

“Masalah dengan rundingan multilateral adalah ia perlu mencapai konsensus. Jika ada sebuah negara yang tidak bersetuju maka ia tidak menjadi.
“RCEP mempunyai 16 buah negara dan tujuh tahun sudah dirunding dan jika ada sebuah negara membuat permintaan yang kita tidak boleh terima, rundingan itu tidak menjadi,” katanya ketika menjawab desas-desus rundingan RCEP di Bangkok, Thailand menemui jalan buntu.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darel Leiking berkata terdapat sebuah negara yang membuat keputusan berasingan berhubung RCEP sekaligus menyukarkan rundingan untuk dimuktamadkan.
“Pemimpin negara RCEP akan membuat kenyataan rasmi esok (Isnin). Kebanyakan terma di bawah RCEP sudah dimuktamadkan hanya sebuah negara sahaja yang membuat keputusan yang kurang jelas kerana mereka berdepan masalah domestik,” katanya tanpa menamakan negara tersebut.


Berdasarkan laporan berita antarabangsa, India dikatakan membentangkan syarat baru untuk RCEP sekaligus menyebabkan rundingan menemui jalan buntu.

Kegusaran India banyak berkait tentang lambakan produk murah dari China yang takuti bertambah besar sekiranya RCEP dipersetujui.

RCEP merupakan perjanjian melibatkan 10 negara anggota ASEAN bersama enam rakan dagang lain termasuk China, India, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.

Jika RCEP berjaya dimuktamadkan ia bakal menjadi blok dagangan terbesar di dunia merangkumi satu pertiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.


Tag: KDNK, China, Thailand, Australia, India, ASEAN, Bangkok, Korea Selatan, ekonomi, RCEP



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.