Tutup

RCI BNM: Nor Mohamed Yakcop arah transaksi AS$800 juta - Saksi

RCI BNM: Nor Mohamed Yakcop arah transaksi AS$800 juta - Saksi
Prosiding yang diadakan secara terbuka kepada orang ramai itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan bersambung dijangka bersambung pada 29 Ogos ini. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Prosiding Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) yang bersidang di Istana Kehakiman hari ini dikejutkan dengan pendedahan bekas peniaga tukaran asing.

Saksi keenam, Fizaman Noor Mohammed Nasir, 53, yang menggalas tanggungjawab itu di BNM sejak 1989 hingga 1998 berkata beliau pernah diarahkan oleh Pengarah Jabatan Bank BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk membuat tukaran matawang asing berjumlah AS$800 juta dalam satu transaksi.
Walaupun nasihat pasaran diberikan dalam pelbagai sudut, namun katanya keputusan akhir masih tertakluk kepada Nor Mohamed Yakcop.

"Ya betul, saya pernah jalankan urus niaga berjumlah AS$800 juta bersamaan hampir RM2.5 bilion dalam satu hari.
"Tan Sri Nor tidak pernah membuat transaksi, 'dealer' yang buat. Memang had transaksi saya adalah USD30 juta, tetapi transaksi USD800 juta tersebut adalah 'management position'. Atas arahan Tan Sri Nor. Kalau bukan atas arahan, saya tidak akan buat perkara tersebut. Saya akan sentiasa mengikuti setiap peraturan dan arahan," katanya.

Beliau mendedahkan perkara demikian selepas ditanya oleh peguam pengendali serta Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan yang juga salah panel suruhanjaya tersebut.

Tambahnya, purata transaksi yang dilakukan menerusi 'management position' iaitu atas arahan Nor Mohamed Yakcop mengalami kerugian.

"Ia bukan rugi pada setiap transaksi. Kalau mungkin transaksi pada malam itu untung, ia untung, tetapi kalau transaksi keseluruhan bulanan ia rugi.

"Ia nampak untung, tetapi bila ia 'time off' dan ada kedudukan lain yang menyebabkan yang untung 'ditelan'. Bermakna ia rugi.

"Saya bermula pada 1989-1990, dan bermula dari situ lah untung, rugi, untung rugi dan rugi mengatasi untung. Boleh saya katakan ia berlaku pada 1990," jelasnya.

Prosiding yang diadakan secara terbuka kepada orang ramai itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan bersambung dijangka bersambung pada 29 Ogos ini.

Selain Tajuddin, Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

BERITA LANJUT MENYUSUL