RCI Wang Kelian: Ada sindiket kenakan bayaran RM6,500 untuk masuk Malaysia

RCI Wang Kelian: Ada sindiket kenakan bayaran RM6,500 untuk masuk Malaysia
Saksi ke-18 Inspektor Mohd Husyairi Musa selesai memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mendedahkan, terdapat sindiket yang mengenakan bayaran sebanyak RM6,500 terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) jika ingin memasuki negara ini.

Inspektor Mohd Husyairi Musa membuat pendedahan itu kepada panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Mohd Husyairi, yang juga saksi ke-18 RCI pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Risikan Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada 2015.

Menurutnya, maklumat tersebut didapati selepas pihaknya berjaya menahan enam orang PATI bersama pemandu teksi warga tempatan berusia 72 tahun ketika menaiki sebuah teksi pada Mei 2015 di Wang Kelian.

Ketika merakam percakapan, tiga daripada enam PATI tersebut mendedahkan mereka (mangsa) bersama sindiket tersebut melarikan diri dari sempadan Thailand selepas kem penahanan digempur pihak tentera negara itu.

Insp Mohd Husyairi: Penama pertama menyatakan bahawa pergolakan berlaku di Myanmar menyebabkan dia dan keluarganya melarikan diri. Perjalanan dengan menaiki bot boleh memuatkan 300 hingga 400 pelarian, mengambil masa 15 hari untuk sampai ke Thailand.

Insp Mohd Husyairi: Apabila sampai di Thailand, mereka ditahan dan dipaksa menaiki kenderaan darat sehingga ke satu lokasi untuk dikumpul dipercayai sebuah kem. Mereka ditahan selama 3 hingga 4 bulan di kem terbabit. Jika mangsa buat bayaran, baru mereka dilepaskan masuk ke Malaysia.

Pegawai Pengendali Saiful: Adakah mereka terpaksa membuat bayaran?
Insp Mohd Husyairi: Berdasarkan penerangan sekiranya nak keluar dari kem dan masuk Malaysia, mereka (PATI) perlu membuat bayaran RM6,500.

Pegawai Pengendali Saiful: Mereka (PATI) kata mereka duduk ejen dari mana?

Insp Mohd Husyairi: Ejen dari Myanmar sendiri. Mereka menyedari telah masuk ke kawasan Thailand kerana pengawal yang mengawal mereka di kem berinteraksi dalam bahasa Thai.

Pegawai Pengendali Saiful: Bagaimana mereka masuk Malaysia?

Insp Mohd Husyairi: Dia nyatakan sebelum ditahan oleh polis, ada serbuan dijalankan oleh pihak tentera (berbahasa Thai) dan ada helikopter buat pemantauan di kem tersebut.

Insp Mohd Husyairi: Semasa berlaku itu mereka duduk di dalam kem, keadaan kelam kabut. Mereka pecahkan pintu kem kerana terkunci. Selama tiga hari mereka berjalan dalam hutan, kemudian terserempak dengan seorang lelaki warga Thailand, baru mereka sedar telah masuk ke kawasan Malaysia. Selepas itu, mereka naik teksi selepas diarah oleh warga Thai itu.

Jelasnya, ketika rakaman percakapan dibuat, PATI berkenaan yang hanya dikenali dengan nama Nur Muhammad turut membuat lakaran kawasan kem berkenaan.

Mengikut pemahaman beliau, terdapat enam kem yang mana salah satunya dijadikan surau.

Menurut Mohd Husyairi, setiap kem yang dikawal oleh individu yang dipercayai terlibat sindiket itu, boleh menempatkan kira kira 80 PATI di sempadan Thailand.

Berdasarkan maklumat rakaman percakapan itu, katanya Nur Muhammad turut menceritakan bahawa PATI akan dipukul jika gagal membuat bayaran.

Malah, ada yang meninggal dunia selepas diseksa kerana enggan memenuhi tuntutan bayaran sindiket.

Pengawai Pengendali Saiful: Dalam tempoh itu seramai 62 PATI mati?

Insp Mohd Husyairi: Ya, jelas Nur Muhammad, 62 orang mati akibat memakan makanan kotor, tempat tinggal tidak bersih dan diseksa. Mereka diarah sindiket terbabit untuk tanam kesemua mayat itu.

Pegawai Pengendali Saiful: Kem dan kubur hanya beberapa meter?

Insp Mohd Husyairi: Ya betul.

Pegawai Pengendali Saiful: Lakaran ini kem di Thailand?

Insp Mohd Husyairi: Ya, bukan di Malaysia.

Bagaimanapun jelas Mohd Husyairi, kesemua PATI yang ditahan telah diusir dari negara ini di bawah Akta Imigresen.

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan di hadapan tujuh Panel Suruhanjaya itu yang diketuai Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.





Tag: Imigresen, pegawai risikan PDRM, Polis Diraja Malaysia, RCI Wang Kelian, pendatang asing tanpa izin, PATI, Suruhanjaya Siasatan Diraja, Wang Kelian, Inspektor Mohd Husyairi Musa, Padang Besar, Nur Muhammad


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.