RCI Wang Kelian: Henti seketika siasatan atas arahan KPN

RCI Wang Kelian: Henti seketika siasatan atas arahan KPN
Zul Aznam (gambar) mempertahankan tindakan timbalannya yang mengarahkan siasatan lanjut dibuat ke atas struktur tanah menyerupai kubur yang ditemui di kawasan penempatan serta memusnahkan khemah di penempatan itu. Astro AWANI
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, hari ini diberitahu siasatan kes itu ditangguhkan seketika atas arahan Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Zul Aznam Haron berkata, arahan itu diterimanya selepas beliau menghubungi Khalid menerusi panggilan telefon pada 20 Januari 2015.

Dalam perbualan itu, Zul Aznam berkata beliau memaklumkan mengenai penemuan kem penempatan sementara, penangkapan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penemuan struktur tanah menyerupai kubur di Bukit Wang Burma oleh anggota Pasukan Gerakan Am  (PGA) selepas tinjauan dan serbuan ke lokasi tersebut pada 19 Januari 2015.

"Selepas diberi taklimat oleh timbalan saya iaitu ACP Md Zukir Md Isa, saya menghubungi Ketua Polis Negara bagi memaklumkan mengenai perkara itu dan Tan Sri Khalid mengatakan 'Hold On' dengan alasan perkara itu memerlukan persediaan dan penelitian lebih teliti.

"Itu perbualan terakhir saya dengan Khalid dan saya beranggapan apabila dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, kes itu akan diberi perhatian oleh Bukit Aman," katanya yang hadir sebagai saksi ke-16 pada prosiding hari kelima itu.
Kepada pertanyaan bolehkah polis mengambil masa untuk mengambil tindakan selepas penempatan itu ditemui, Zul Aznam berpendapat ketiadaan sebarang tindakan dari tarikh 23 Januari hingga awal Mac itu mungkin disebabkan beberapa faktor seperti kes memberi impak besar kepada negara kerana melibatkan warga asing.

Zul Aznam, 66, yang kini bertugas sebagai pengarah keselamatan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), berkata siasatan kes itu 'hidup semula' apabila diberitahu pasukan komando polis VAT 69 akan memasuki kawasan hutan Wang Kelian bagi melakukan tinjauan lanjut.

"Keadaan tanpa tindakan itu berlarutan agak lama sehinggalah pada 5 Mac 2015, satu sesi taklimat yang menjurus kepada kem penempatan, lokasi dan bentuk muka bumi hutan dibuat kepada pasukan VAT 69.

"Apabila keputusan menghantar VAT 69 dibuat, ia adalah satu tindakan awal bagi menerokai seluruh kawasan itu bagi tujuan analisa keselamatan dan melakukan pemetaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, penglibatannya dalam siasatan kes itu terhenti setakat sesi taklimat tersebut dan maklumat rasmi hasil operasi tidak lagi dimaklumkan kepadanya tetapi beliau difahamkan terdapat tangkapan dibuat dalam operasi itu.

Dalam pada itu, Zul Aznam mempertahankan tindakan timbalannya ACP (B) Md Zukir Md Isa yang mengarahkan siasatan lanjut dibuat ke atas struktur tanah menyerupai kubur yang ditemui di kawasan penempatan serta memusnahkan khemah di penempatan itu.

Katanya, arahan memusnahkan khemah itu adalah berpandukan kepada taklimat oleh Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Rizani Che Ismail kepada Md Zukir bahawa kes penahanan pendatang asing itu telah diserahkan kepada pihak Imigresen kerana tidak melibatkan penangkapan tekong.

"Saya setuju dengan arahan itu kerana kita perlu musnahkan sebahagian khemah supaya tidak boleh diduduki oleh pendatang asing di masa akan datang, bukannya memusnahkan keseluruhan struktur penempatan yang boleh menghilangkan bukti," katanya.

Prosiding bersambung esok.

-- BERNAMA