RCI Wang Kelian: Joeking nafi panggil anggota PGA bodoh

RCI Wang Kelian: Joeking nafi panggil anggota PGA bodoh
Joeking ketika hadir pada sesi pendengaran awam RCI berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, 18 April lalu. Astro AWANI/SHAHIR OMAR/Fail
PUTRAJAYA: Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis memasuki hari ke-12 bersambung hari ini.

Tiga lagi saksi tampil memberi keterangan di hadapan tujuh panel RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.

Saksi ke-5, ASP M Joeking Anthony, iaitu Komandan Kompeni Komander Batallion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), mencuri perhatian apabila dipanggil semula memberi keterangan.

Ketika ditanya, Joeking menolak dakwaan bahawa beliau memanggil anggotanya yang menangkap warga asing sebagai 'bodoh' pada 19 Januari, 2015.

"Kalau saya dimaklum tentang tangkapan, buat apa saya nak marah. Saya mesti suruh buat laporan polis," kata Joeking di hadapan tujuh panel Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Beliau ditanya susulan kenyataan anggota PGA Koperal Mat Ten yang mendakwa dimarahi dan dipanggil bodoh oleh Joeking selepas bertindak menahan enam pendatang asing.

Perkara itu ditimbulkan oleh Ariffin kepada Joeking susulan kenyataan yang dibuat Mat Ten, saksi pertama,  ketika memberi keterangan pada sesi prosiding yang diadakan secara tertutup sebelum ini.

Menurut Ariffin, Mat Ten menyebut dalam kenyataannya bahawa pada malam 19 Januari itu, dia berjaya menahan warga asing di Wang Kelian selepas mengisi minyak motosikal di salah sebuah stesen minyak di daerah itu.

Hari yang sama, pasukan PGA yang diketuai Joeking menahan 38 warga asing dalam Ops Wawasan di Bukit Wang Burma.

Arifin turut membacakan keterangan Mat Ten kepada RCI sebelum ini: "Masa balik tu saya (Mat Ten) jumpa lebihan orang asing seramai enam orang sedang jalan kaki. Saya panggil land rover untuk bawa ke balai. Tapi Joeking cakap awak betul-betul bodoh. Kenapa cari orang itu."

Turut dibangkitkan ahli panel dalam pertanyaan terhadap Joeking, sama ada dia sering berada di dua kawasan tersebut ketika di luar waktu bertugas, berdasarkan keterangan beberapa saksi sebelum ini.

Joeking menafikan perkara itu, menyatakan ia hanya tuduhan palsu.

Kredibiliti Joeking sebelum ini pernah dipersoal apabila saksi ke-14 bekas Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor ACP Wan Hamzah Wan Kadir berkata Joeking telah digantung kerja 1 Mac lalu.

Malah dalam kenyataannya, Wan Hamzah juga menjelaskan, Joeking pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015.

Selain Joeking, dua lagi saksi turut memberi keterangan hari ini, iaitu Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Perlis Monica Joseph Gaisah (saksi ke36) dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah D10, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) SAC Azhari Abd Rahman.

Prosiding pendengaran awam RCI disambung semula esok dengan prosiding dijalankan secara tertutup.