RCI Wang Kelian: Pendatang asing seolah diajar, diatur pihak tertentu

RCI Wang Kelian: Pendatang asing seolah diajar, diatur pihak tertentu
Mohd Amir (gambar) bersetuju dengan andaian bahawa kad UNHCR merupakan satu daripada tarikan kepada pendatang asing, khususnya dari Myanmar untuk memasuki negara ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Tindakan dan perlakuan pendatang asing yang ditahan dalam kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, seolah-olah telah diajar atau diatur pihak tertentu.

Perkara itu didedahkan bekas Pengarah Imigresen Perlis Mohd Amir Othman ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-30 sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem itu yang memasuki hari kesepuluh hari ini.

Beliau berkata daripada soal siasat ke atas 38 pendatang asing yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen oleh Pasukan Gerakan Am setelah ditahan dalam operasi di Bukit Wang Burma pada 19 Januari 2015, didapati jawapan yang diberikan adalah sama, seperti telah diatur dan diajar untuk berbuat demikian.

Walaupun berdepan kesukaran dari aspek komunikasi tetapi jawapan yang diberikan adalah serupa, katanya, iaitu mereka datang tanpa dipaksa dan secara sukarela membayar kadar tertentu kepada ejen, asalkan boleh memasuki negara ini.

“Selain jawapan seperti telah diatur dan diajar lebih awal, mereka juga tegas mengakui datang secara sukarela, yang mengingatkan saya kepada kes tangkapan pendatang asing yang kami lakukan sebelum ini.

“Sebelum ini ada kes di mana pendatang asing ini datang seolah-olah untuk ditangkap, di bawa ke depoh tahanan yang pada mereka satu tempat yang lebih baik berbanding di negara mereka sendiri,” katanya di hadapan enam panel RCI yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Zakaria Arifin.
Mohd Amir berkata sasaran utama mereka ialah untuk memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), yang membolehkan mereka bergerak bebas dan tidak boleh ditahan sekiranya mempunyai pekerjaan dan hanya boleh didakwa jika melakukan kesalahan jenayah.

Beliau juga bersetuju dengan andaian Zakaria bahawa kad UNHCR merupakan satu daripada tarikan kepada pendatang asing, khususnya dari Myanmar untuk memasuki negara ini.

Saksi ke-30 daripada enam individu yang memberi keterangan hari ini itu juga menyatakan seramai 5,630 pendatang Myanmar ditahan jabatan itu untuk tempoh 2012 hingga 2016.

Terdahulu, saksi ke-29 bekas Pengarah Kastam Perlis Datuk Mohd Pudzi Man berkata pihaknya berdepan kesukaran dalam mengumpul maklumat berkaitan penyeludupan migran berbanding kes berkaitan kemasukan pendatang asing.

Beliau yang menjawat jawatan itu antara September 2011 dan Jun 2016 berkata unit risikan Jabatan Kastam ada mendapat maklumat berkaitan kemasukan pendatang asing dalam jumlah yang kecil tetapi info tersebut terlalu sedikit dan samar-samar sahaja.

“Apabila kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian didedahkan media, ia menjadi sesuatu yang amat memeranjatkan apatah lagi ia ditemui dalam skala yang cukup besar,” katanya.

Syed Basri berkata, ketika ini setiap agensi keselamatan bekerja mengikut SOP masing-masing dan ketiadaan ‘satu command’ menyebabkan penugasan tidak begitu tersusun. --fotoBERNAMA

Sementara itu, saksi ke-32 Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis DSP Syed Basri Syed Ali mencadangkan seorang pegawai pemerintah diwujudkan bagi menyelaras dan memperkasa pengoperasian agensi penguatkuasa di sempadan.

Beliau berkata ia penting bagi mengelak pertindihan arahan dalam operasi penguatkuasaan undang-undang di sempadan yang ketika ini melibatkan pelbagai agensi keselamatan antaranya Kastam, Imigresen dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Syed Basri berkata ketika ini setiap agensi keselamatan bekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) masing-masing dan ketiadaan ‘satu command’ menyebabkan penugasan tidak begitu padu dan tersusun.

“Saya tidak kata perlu terima arahan daripada Aksem tetapi kita perlu tentukan satu pihak yang diberi kuasa memberi command untuk dipatuhi agensi lain walaupun Akta Aksem membenarkan agensi ini bertindak melewati bidang tugas pasukan keselamatan lain,” katanya.

Prosiding bersambung esok.

-- BERNAMA