Seorang pegawai polis mendedahkan menerima arahan untuk membuat kenyataan palsu dalam laporan polis berhubung lima individu yang ditahan dalam Ops Cantas Khas di pusat pengumpulan sampah berhampiran Bukit Wang Burma pada 13 Mac 2015.

Inspektor Mohd Khusyari Musa yang merupakan saksi ke-18 berkata tangkapan suspek telah dilakukan oleh pasukan VAT 69 di Genting Perah pada hari yang sama sebelum diserahkan kepada anggota Cawangan Khas dan diserahkan kepadanya untuk tindakan lanjut.

Suspek ditahan mempunyai pistol

Menurut Mohd Khusyairi, selepas menerima lima pendatang tanpa izin iaitu dua warga Thailand bernama Biau Wong Chinpo, 44 tahun dan Suriyan, 21 tahun manakala tiga warga Myanmar Yahya, 15 tahun, Shahidullah 16 tahun dan Momotin, 17 tahun.

Pemeriksaan terhadap dua PATI itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol, sebilah parang dan wang tunai.

“Suspek nombor satu ini ada sepucuk pistol di poket kanan, lepas itu di poket kiri ada satu uncang dimana kita jumpai 12 butir peluru pelbagai jenis. Suspek kedua surian (warga Myanmar) kita (Polis) rampas satu beg coklat ada wang tunai RM410 dan 100 Baht.”

“Manakala penama ketiga ni Yahya umur 15 tahun kita buat rampasan satu bilah parang berukuran 1 kaki. Lepas tangkapan dan rampasan suspek dibawa balik ke IPD Padang Besar untuk didakwa dibawah seksyen 8A Atipsom," katanya ketika memberi keterangan.

Buat kenyataan palsu dalam laporan polis

Bagaimanapun beliau mengakui dihadapan Panel Suruhanjaya Siasatan Diraja membuat kenyataan palsu dalam laporan polis pada 14 Mac jam 12 tengah malam mengikut arahan Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Rizani Che Ismail.

Dalam laporan polis itu, beliau menyatakan bahawa tangkapan dilakukan olehnya sendiri ketika membuat rondaan Ops Cantas Khas pada tarikh yang sama.

Panel Datuk Junaidah :“Saya nak tanya kenapa dalam laporan polis itu menyatakan bahawa semasa awak bersama lain membuat rondaan di tempat pembuang sampah awak terserempak dengan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan, tetapi sebenarnya kesemua suspek awak terima daripada anggota cawangan khas?”

Mohd Khusyairi: “Laporan ini saya terima arahan dari Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar untuk membuat laporan macam ini.”

Panel Datuk Junaidah: “Jadi awak bukan terserempaklah?”

Mohd Khusyairi: “Tidak, tetapi arahan diterima macam itu jadi saya buat mcm itu lah,itu arahan KPD. “

Panel Datuk Junaidah: “Jadi tidak betul lah laporan ini?”

Mohd Khusyairi: “Ya”

Jelasnya, kelima PATI itu diterima dalam keadaan tangan diikat dengan wayar kabel.

Bagaimanapun beliau gagal mengecam anggota cawangan khas yang menyerahkan PATI berkenaan ketika ditanya.

Jelas Mohd Khusyairi, kesemua PATI itu kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Komisioner Junaidy Md Saat untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan dihadapan 7 panel Suruhanjaya itu yang diketuai Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.