Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak hari ini menyifatkan akhbar The Edge Financial dan The Edge Weekly yang digantung permit penerbitannya buat sementara oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat, berperanan besar sebagai tunjang menyalurkan maklumat kepada komuniti perniagaan.

"The Edge adalah tunjang kepada komuniti perniagaan - peranan dalam memastikan kami mendapat maklumat, jujur dan kompetitif," kata Nazir dalam posting terbaru di laman Instagram.

Tambahnya, liputan akhbar berkenaan mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah luar biasa namun jika terdapat kesilapan, pihak terlibat perlu memperbetulkannya atau mengambil tindakan undang-undang.

Nazir Razak

Nazir mengulas penggantungan permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial selama tiga bulan oleh KDN.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan penggantungan tersebut dibuat kerana penerbitan akhbar itu mempunyai motif-motif tertentu.