Mahasiswa orang kelainan upaya (OKU) perlu keluar daripada kepompong mereka supaya lebih aktif dengan aktiviti kokurikulum bagi mengasah kemahiran insaniah di universiti.

Menurut Pegawai Tadbir Seksyen Kaunseling & Kerjaya di Universiti Malaya, Firdaus Hassan, usaha itu amat penting memandangkan masa depan graduan OKU amatlah sukar dalam industri pekerjaan lebih-lebih lagi kerajaan gagal menyediakan peluang yang cerah untuk mereka.

"Isu utama mahasiswa OKU bukanlah jumlah atau kemudahan yang disediakan oleh universiti tetapi mereka gagal mendapat tempat dalam industri pekerjaan," katanya ketika ditemui AWANI Rangers Universiti Malaya.

Sebelum ini, akhbar tempatan bertarikh 30 April 2017 melaporkan bahawa jumlah pekerja dalam kalangan OKU hanyalah 0.24 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam di Malaysia.

Angka ini masih terlalu rendah daripada sasaran kerajaan ketika Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) untuk menyediakan satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan OKU dalam sektor awam menjelang 2020.

Tambah Firdaus, wujud unsur diskriminasi dalam sektor awam dan swasta serta ketidakpercayaan terhadap kemampuan mereka.

"Ya mereka memang cacat daripada segi fizikal tetapi itu bukan alasan untuk tidak memberi peluang kepada mereka. Majikan perlu melihat perkara yang boleh dilakukan oleh graduan OKU dan bukannya daripada kekurangan mereka," katanya yang juga OKU cacat penglihatan.

Beliau mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan unit khas OKU dalam kementerian bagi mengelakkan sebarang diskriminasi, menyediakan pekerjaan dan latihan.

Bagi tahun 2018, beliau bersama Unit Kaunseling dan Kerjaya UM akan mencari syarikat berpotensi untuk memberi latihan bagi memahami golongan OKU selain menjemput mereka menyertai pesta kerjaya di UM.


_______________________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan AWANI Rangers Universiti Malaya, Zaim Aiman Ibrahim dan Muhammad Zulhanis.

*Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**AwaniRangers UM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaya melalui UM Cares.