Pengguna lebuh raya Plus berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus apabila membayar tol menggunakan sistem elektronik pada 31 Ogos sempena sambutan hari kemerdekaan ke 56.

Pengarah urusan yang juga ketua pegawai eksekutif Plus Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, rebat tol itu diberi kepada orang ramai yang menggunakan kad plusmiles, touch 'n go dan smarttag ketika membayar tol di lebuh raya kendalian plus.

Katanya, ia merupakan satu daripada langkah Plus menyemarakkan sambutan kemerdekaan akan datang.

Selain itu, ia antara strategi Plus menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas.

Rebat berkenaan boleh dituntut di pusat-pusat khidmat pelanggan Plus apabila pengguna menambah nilai kad elektronik mereka bermula 16 September hingga 15 Disember ini.

Beliau menggesa orang ramai supaya membayar tol secara elektronik sebagai satu langkah untuk mempercepatkan transaksi tol dan membolehkan orang ramai melalui plaza tol dengan selesa.

Noorizah menambah, rebat itu tidak akan diberi kepada pengguna yang membayar tol di plaza tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan jambatan Pulau Pinang.