Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pulau Pinang yang menyambut baik keputusan kerajaan memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap perkhidmatan pembinaan, akan memberikan diskaun pembelian rumah sebanyak enam dan 10 peratus kepada pembeli.

Pengerusi Rehda negeri, Datuk Toh Chin Leong berkata rumah yang bernilai RM300,000 ke atas di negeri ini akan diturunkan harga sebanyak 10 peratus berikutan pelaksanaan SST bermula 1 September lepas.

"Selain itu pihak kami juga akan memberikan diskaun sebanyak enam peratus bagi rumah mampu milik yang berharga bawah RM300,000 dan ia terpakai kepada projek sedia ada atau projek baharu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata penurunan harga kediaman itu dapat dilakukan berikutan pemaju perumahan kini boleh menyerap kos itu selepas dikecualikan dari SST yang mana cukai itu perlu dibayar ketika sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan sebelum ini.

"Kita juga mengalu-alukan pelaksanaan SST ini kerana di bawah GST, pemaju terpaksa menanggung kos tambahan yang ada daripadanya dipindahkan kepada pembeli, tetapi menerusi SST, beberapa komponen cukai berkaitan pembinaan dikecualikan dan ini membolehkan kita menurunkan harga rumah," katanya.

Sementara itu, Lim berkata kerajaan amat mengalu-alukan tindakan yang diambil Rehda Pulau Pinang dan berharap ianya dicontohi dan diguna pakai di seluruh Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah positif. Terima kasih kepada Rehda kerana mereka adalah badan korporat yang memang bertanggungjawab dan mereka tidak mengambil kesempatan kerana mereka telah dapat berjimat daripada cukai. Mereka (Rehda) tidak akan untung daripada penjimatan cukai tetapi akan menyalurkan keuntungan ini kepada orang ramai."

Lim turut berharap Rehda negeri ini dapat memberi nasihat kepada ahli-ahli di seluruh negara untuk mengambil langkah serupa.

"Ini juga sebagai usaha membalas usaha kerajaan yang memberikan pengecualian cukai binaan yang mana harga rumah sepatutnya boleh turun," katanya.

-- BERNAMA