Remaja bunuh diri selepas dapat 69 peratus undian Instagram

Remaja bunuh diri selepas dapat 69 peratus undian Instagram
Mangsa bunuh diri selepas dapat undian mati oleh netizen.
KUCHING: Seorang remaja 16 tahun merealisasikan undian netizen yang mengundinya untuk "mati" dengan terjun bangunan di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan memberitahu, mangsa membuat undian tersebut melalui akaun Instagram.

"Sebanyak 69 peratus rakan instagram mangsa menyokong hasratnya untuk mati menerusi kotak undi yang dimuat naik sekitar jam 3 petang semalam.

Mangsa sebelum itu menulis  catatan 'Really Important, Help Me Choose D/L pada kotak undi.

D bermaksud 'die' (mati) manakala L bermaksud 'live' (hidup).

Mangsa turut memuat naik status 'WANNA QUIT F**KING LIFE I’ M TIRED' dalam facebooknya.

Semakan pada telefon bimbitnya pula, menemui status WeChat yang mengucapkan sayang kepada kawan-kawannya, yang ditulis dalam bahasa Cina.

Kata Aidil, remaja tersebut dipercayai tertekan selepas bapa tirinya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang pulang ke rumah mereka.

Mangsa ditemui sekitar jam 8.00 malam oleh seorang lelaki, yang kemudian melaporkan insiden tersebut kepada Balai Polis Batu Kawa.

Mayat mangsa kata Aidil,  kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat, yang dijadualkan petang ini.

Tiada unsur jenayah dikesan di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.