Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas, manakala 17 rakannya terselamat apabila perahu digunakan untuk menjalani latihan mendayung, karam di Sungai Beladin dekat sini pada Rabu.

Mangsa, Muhammad Izzat Farhan Ismail, 16 tahun, dilaporkan hilang dan belum dijumpai sehingga kini.

Dalam kejadian jam 6 petang Rabu itu, tiga daripada 17 rakan mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tiga mangsa yang menerima rawatan itu ialah Hazwan Aryadi Jamel, 14 tahun, Ashfizan Sahari, 31 tahun, dan Muhammad Alfin Lengah, 19 tahun.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelanat (BBP) Betong, Henry Jugah, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu pada jam 7.15 malam telah menghantar sepasukan anggota ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Namun, setiba di tempat kejadian pada jam 9.20 malam, operasi SAR tidak dapat dijalankan kerana suasana sudah gelap dan ia hanya dapat dibuat pada pagi ini (Khamis)," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Izzat didapati tiada dalam senarai kiraan nama mereka yang terselamat dalam insiden perahu karam di hulu Sungai Beladin, Pusa pada Rabu. - Foto JBPM

Mengulas lanjut, beliau berkata, insiden berlaku semasa kumpulan 18 orang itu sedang sedang menjalani latihan mengayuh perahu lumba.

Katanya, semasa menghampiri Pengkalan LKIM Kampung Hulu Beladin, perahu yang mereka naiki tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh kapal tongkang sebelum terbalik.

Anggota bomba dan polis berbincang tentang operasi SAR. - Foto JBPM