Seorang remaja dipercayai penyeludup ketum maut selepas kereta jenis Proton Waja yang dinaiki terlibat dalam kemalangan berdekatan simpang empat Kampung Yap Boon Yang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohamad berkata, dalam kejadian 5.50 pagi, mangsa yang berumur 16 tahun itu maut di tempat kejadian selepas kereta yang dinaiki dengan muatan daun ketum bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan ikan.

"Siasatan awal mendapati lori terbabit dari arah Jalan Kampung Padang Siam menghala ke Jalan Kampung Wan Ahmad, apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu oleh rakan mangsa berumur 33 tahun keluar ke sebelah kanan simpang sebelum berlaku perlanggaran.

"Kereta mangsa melanggar rusuk kanan lori dan menyebabkan lori terlibat terbalik ke kiri jalan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Suzaimi berkata, rakan mangsa hanya mengalami kecederaan dengan patah kaki sebelah kanan dan pemandu lori berusia 31 tahun serta penumpang berumur 21 tahun turut mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah.

"Pihak kami dalam proses melakukan ujian air kencing kesemua mangsa cedera selain Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merampas barang kes (daun ketum) untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA