Remaja lelaki yang disyaki cuba mencabul murid tahun dua di sebuah sekolah di Dungun pada Isnin menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun petang tadi.

Dia hadir dengan ditemani bapanya kira kira jam 4.15 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Aziz Wan Hamzah berkata daripada rakaman CCTV yang diperolehi pihaknya berjaya mengenal pasti identiti suspek yang berusia 19 tahun dan berasal Kampung Baru Pak Sabah, Dungun.

“Siasatan yang kita jalankan, sama ada suspek ada masalah psikologi atau tidak. Dalam siasatan kita, untuk mengenal pasti, lepas itu kita tangkap. Dalam siasatan lanjut kita, mungkin kita dapat lihat sama ada beliau ini mempunyai sifat atau sikap mencabul kanak kanak atau lain-lain. Kita akan siasat juga,” kata Wan Aziz selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian jam 1.45 petang, 22 Ogos lalu, mangsa yang sedang menunggu untuk ke kelas fardu ain di sekolah terbabit mendakwa didatangi suspek.

Suspek yang meceroboh kawasan sekolah menyuruh mangsa ke bilik stor belakang sekolah berkenaan dengan memberikan alasan kawannya menunggu di sana.


Mangsa kemudiannya menjerit apabila suspek dipercayai cuba mencabulnya.

Suspek yang panik dengan tindakan mangsa melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang sekolah berkenaan.

Kes disiasat dibawah seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana niat mencabul.