Remaja warganegara Kanada yang dilapor pengsan di lot parkir sebuah pusat konvensyen di ibu negara, yang tular di media sosial semalam, disahkan negatif koronavirus.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan pada Khamis, remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditempatkan di wad pengasingan Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu telah pun dibenarkan pulang.

BACA: Koronavirus: Dua lagi kes dikesan, libatkan kes jangkitan tempatan pertama - Dr Dzulkefly

BACA: Wanita warga Kanada dikhuatiri positif koronavirus dibawa ke HKL


Rabu lalu, Dr Dzulkefly mengesahkan telah menerima laporan berhubung seorang wanita warga Kanada yang dikhuatiri dijangkiti Novel Koronavirus (2019-nCoV) di sebuah pusat konvensyen berkenaan.

Bagaimanapun, wanita itu telah dibawa ke HKL untuk pengesahan dan rawatan.

Kementerian Kesihatan juga telah melakukan semua prosedur yang ditetapkan dalam melakukan pemantauan ke atas remaja perempuan berkenaan.

Sebelum itu, beberapa keping gambar telah tular di media sosial dan menunjukkan pasukan Hazmat berada di bangunan KLCC susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu didakwa disyaki positif 2019-nCoV.