Tutup

Remaja lelaki dikhuatiri lemas di pantai Teluk Nipah

Remaja lelaki dikhuatiri lemas di pantai Teluk Nipah
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sedang giat melakukan 'surface searching' untuk mencari mangsa. - Foto ihsan bomba
PULAU PANGKOR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas dipercayai selepas melakukan aktiviti air bersama rakan-rakannya di pantai Teluk Nipah di sini pada Rabu.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Nazrul Helmi Nazri dikatakan telah dihanyutkan air ketika menyeberang air yang sedang surut dari Teluk Nipah ke Pulau Giam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.49 petang.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor menerima maklumat daripada orang awam bahawa mangsa bersama rakan-rakan sedang melakukan aktiviti air di pantai tersebut.
"Mereka dipercayai menyeberangi air yang sedang surut, bagaimanapun semasa perjalanan pulang ke Teluk Nipah tiba-tiba berlaku air pasang dan ketiga-tiga mangsa hanyut.

"Dua daripada mangsa sempat diselamatkan oleh bot yang membawa pelancong di lokasi manakala seorang lagi telah dihanyutkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sedang giat melakukan 'surface searching' untuk mencari mangsa.

Fenomena air surut Teluk Nipah ke Pulau Giam dikatakan berlaku hanya setahun sekali di Pulau Pangkor.

Pulau Giam terletak berhadapan dengan Teluk Nipah dan kebiasaannya pengunjung perlu menaiki bot atau berkayak untuk ke pulau tersebut.



Tag: Teluk Nipah, remaja dikhuatiri lemas, Mohd Nazrul Helmi Nazri, Pulau Giam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Perak, BBP Pangkor, PPDA, Pulau Pangkor



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.