Kegembiraan sekumpulan remaja mandi di tasik berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas berhampiran kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park, Jalan Bintulu-Sibu, lewat petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak berkata, berdasarkan maklumat rakan, mangsa, Richmond Teo Yii Wen, 17, sedang mandi di kawasan yang agak dalam di tasik tersebut namun tidak timbul apabila kesemua rakan lain naik ke tebing.

"Rakan mangsa cuba mencari namun gagal dan terus meminta bantuan penduduk setempat mencari mangsa," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Sabtu itu, katanya, beberapa orang penduduk setempat turut menyelam mencari dan berjaya menemui mangsa lalu terus membawa ke tebing untuk diberi rawatan kecemasan.

Kenyataan itu menyebut mangsa diberi bantuan pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) oleh anggota ambulans dari Hospital Bintulu yang tiba di lokasi tetapi mangsa gagal diselamatkan. -- Bernama