Seorang pelajar Kuliah Sultan Abu Bakar di Pekan maut selepas diseret sebuah lori yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Simpang Mentiga, Kilometer 4, Jalan Pekan-Kuantan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata dalam kejadian 4.40 petang itu, mangsa Mohamad Adib Jasni, 18, yang membonceng motosikal ditunggang abangnya Mohamad Alif, 21, maut di tempat kejadian.

Mohamad Alif pula cedera pada kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, katanya.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas lori yang dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Pekan melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh mangsa yang sedang membelok untuk masuk ke Simpang Mentiga sebelum kedua-dua mangsa diseret oleh lori berkenaan.

"Menurut saksi motosikal mangsa adalah kenderaan kedua yang membelok selepas sebuah kereta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau menambah kemalangan mengakibatkan motosikal jenis Honda yang dinaiki dua beradik itu rosak keseluruhannya pada bahagian kanan, manakala lori itu rosak pada bahagian hadapan.

Amran menambah pemandu lori yang berusia 45 tahun tidak cedera dan ditahan bagi menjalani ujian air kencing.

-- BERNAMA