Seorang remaja maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal ditunggang mereka berlanggar sesama sendiri di Kilometer 25.2, Lebuhraya Senai-Desaru, dekat sini, tengah malam Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, mangsa Nur Hafizal Mohd Daud, 17, bersama rakannya Mohamad Danise Hakimy Hishammuddein, 17, sedang menunggang motosikal dari arah Ulu Tiram menghala ke Desaru.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Nur Hafizal hilang kawalan lalu melanggar motosikal rakannya sebelum merempuh penghadang jalan.

Nur Hafizal yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat Nur Hafizal dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk bedah siasat.

Sementara itu, rakannya Mohamad Danise Hakimy hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.