Tutup

Remaja OKU bergelut dengan ular sawa selamatkan nyawa ibu

Remaja OKU bergelut dengan ular sawa selamatkan nyawa ibu
Muhammad Rasul muncul sebagai hero apabila menyelamatkan nyawa ibunya, Halipah Othman yang dibelit ular sawa batik seberat 50 kilogram. - Gambar Astro AWANI
BALING: "Walaupun saya seorang OKU (orang kelainan upaya) dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengenepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik."

Itu luahan seorang remaja OKU masalah pembelajaran, Muhammad Rasul Abdullah, 16, mengulas mengenai penganugerahan pingat Hang Tuah kepadanya sempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Selasa.
Pada hujung Mei lalu, Muhammad Rasul muncul sebagai hero apabila menyelamatkan nyawa ibunya, Halipah Othman, 47, yang dibelit ular sawa batik seberat 50 kilogram di kediaman mereka di Kampung Ulu Tawar, di sini.

Mengimbau kejadian itu, Muhammad Rasul bertindak memotong bahagian tengah ular sepanjang enam meter itu dengan bantuan adiknya, Mohd Aziz, 15, dan sepupunya, Mohd Shafizal Ismail, 15.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 malam itu, mereka bertiga sedang bermain di kawasan luar rumah sebelum terdengar jeritan ibunya dari dapur.



Sebaik terdengar jeritan itu, Muhammad Rasul berkata, mereka bertiga bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat seekor ular sawa batik membelit ibunya sehingga ke paras dada.

Melihat ibunya sedang bertarung nyawa, Muhammad Rasul berkata, sepupunya cuba melepaskan belitan ular pada bahagian ekor manakala adiknya pula mendapatkan bantuan daripada jiran terdekat.

Ketiga-tiga remaja itu terpaksa bergelut hampir setengah jam sebelum Muhammad Rasul bertindak menetak bahagian tengah ular batik berkenaan sehingga hampir putus dengan bantuan penduduk kampung.

Ular yang ditetak itu mati tidak lama kemudian sementara ibu Muhammad Rasul pula yang terlepas daripada reptilia berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Kami fikir (ketika itu) hanya nak bagi mak lepas daripada (dibelit) ular itu sebab mak memang tidak boleh buat apa-apa waktu itu," kata Muhammad Rasul mengimbas pengalaman yang dilaluinya.

Ular sawa batik yang ditetak oleh Muhammad Rasul. - Gambar Astro AWANI



Kata Muhammad Rasul, sekalipun kejadian itu sudah lima bulan berlalu, namun tidak mungkin dia melupakan detik cemas terbabit.

Dalam masa sama, Muhammad Rasul berharap kejadian itu akan menjadi pengalaman pertama dan terakhir buatnya.

Muhammad Rasul juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKM atas anugerah yang diterimanya.

Dia juga mengharapkan anugerah yang diterimanya itu akan menjadi contoh kepada remaja lain berbakti kepada ibu bapa tanpa mengira keadaan.


Tag: remaja OKU, bergelut dengan ular sawa, selamatkan ibu, ular sawa batik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.