Tutup

Remaja OKU dijumpai lemas di Sungai Paka

Remaja OKU dijumpai lemas di Sungai Paka
Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai iaitu pada jarak lima meter dari tebing sungai tersebut pada pukul 8.03 malam. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki kelainan upaya (OKU) yang menghidap autisme ditemukan lemas kira-kira pukul 8 malam tadi di Sungai Paka, Dungun selepas mandi bersama dua rakannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba ll, Mohd Salahuddin Isa berkata Mohd Danish Haikal Jamaludin, 13, yang tinggal di Taman Seberang Paka di sini, dikatakan mandi bersama rakan-rakannya kira-kira pukul 6 petang Jumaat, sebelum mangsa terperlus di kawasan dalam.
"Mangsa dikatakan tidak pandai berenang. Kejadian tersebut telah dilihat orang awam sebelum mereka melaporkan kepada pihak bomba.

"Sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 malam, enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka digerakkan ke lokasi kejadian.
"Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai iaitu pada jarak lima meter dari tebing sungai tersebut pada pukul 8.03 malam oleh pihak bomba dengan bantuan orang awam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA