Seorang remaja yatim piatu dan tergolong dalam orang kurang upaya (OKU) ditemui lemas ketika mandi bersama rakannya di tali air Kampung Mentuan, di sini petang tadi.

Mangsa, Muhammad Azam Hanafi, 14 tahun, yang mengalami masalah lembam dikatakan mandi bersama empat rakannya ketika pulang daripada kelas mengaji al-Quran sekitar jam 4.30 petang tadi.

Sepupu mangsa, Noorhayati Mohd Nor berkata, mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini keluar dari rumah pada jam 2.30 petang untuk mengaji al-quran bersendirian.

Namun rakan-rakannya datang ke rumah memaklumkan mangsa lemas ketika mandi di tali air berkenaan sekitar jam 4.45 petang.

“Mangsa di bawa ke Klinik Kesihatan Kota Jembal dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu,” katanya.


Mangsa tinggal bersama ibu saudaranya selepas kematian kedua ibu bapa.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat.