Seorang remaja perempuan lemas ketika bermain air bersama dua sepupunya di kawasan tempat nelayan menyimpan bot di Kampung Tebing Tembah, Sungai Paka, pada Sabtu.

Mayat Puteri Aniesya Najwa Zamani, 16 tahun di jumpai kira-kira jam 5.45 petang selepas beberapa jam dilaporkan hilang.

Mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang dikatakan berkunjung di kawasan simpanan bot nelayan itu kira-kira jam 4.30 petang.

Bagaimanapun ketika bermain air, mangsa dikatakan tergelincir ke tempat dalam manakala dua sepupunya berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Salahuddin Isa berkata mayat mangsa ditemui penduduk kampung berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, mayat telah dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.